Home Bahasa Malaysia Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh dari tingkat 18 kondominium

Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh dari tingkat 18 kondominium

Kuala Lumpur: Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium di Jalan Saujana 2, Setapak di sini, awal pagi tadi. Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis menerima laporan kejadian kira-kira jam 2 pagi sebelum sepasukan polis ke lokasi kejadian.

Menurutnya, berdasarkan maklumat mangsa yang tinggal di salah sebuah unit di tingkat 18 terjatuh dari balkoni rumahnya. Siasatan awal mendapati mangsa tidur bersendirian tanpa pengawasan manakala ibu mangsa keluar dari rumah. Semasa kejadian, penghuni rumah yang lain sedang tidur di bilik berasingan dan tidak mengetahui mangsa ditinggalkan bersendirian, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang tiba di lokasi dan mayat dibawa ke hospital sama untuk tindakan lanjut. Katanya, kes disiasat oleh pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (AKK).

Ibu bapa dinasihati tidak meninggalkan anak kecil bersendirian tanpa pengawasan kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu kecuaian mengikut AKK, katanya. Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version