Home Bahasa Malaysia Lelaki warga Kanada tidak pakai pelitup muka ditahan

Lelaki warga Kanada tidak pakai pelitup muka ditahan

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki warga Kanada yang tidak memakai pelitup muka dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang, di sini, mengundang padah apabila dia ditahan polis, semalam. Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 44 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk memberikan keterangan berhubung kejadian itu 8.30 malam tadi.

Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan berhubung kes itu dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengikut prosedur operasi standard ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang lelaki warga asing tidak memakai pelitup muka dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang, di sini. Ashari dipetik berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi 18 saat dimuat naik oleh dua pemilik akaun TikTok dan satu laporan polis sudah diterima mengenai kejadian itu.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version