Home Bahasa Malaysia Jasad Nagaenthran disemadikan di Buntong esok

Jasad Nagaenthran disemadikan di Buntong esok

IPOH: Jasad rakyat Malaysia Nagaentran Dharmalingam yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi di Singapura pagi tadi akan disemadikan di perkuburan Hindu di Buntong di sini esok.

Kakak mendiang Sarmila Dharmalingam, 36, berkata persemadian akan dilaksanakan antara jam 2 hingga 4 petang Jumaat ini selepas upacara sembahyang di rumah mereka.

Kami terima pemergian mendiang dengan hati yang berat. Terima kasih kepada semua orang yang datang mendoakan mendiang di Singapura dan Malaysia serta yang mendoakan mendiang di media sosial hingga kini, katanya ditemui di rumahnya di Tanjung Rambutan di sini malam ini.

Tinjauan Bernama mendapati ahli keluarga dan rakan-rakan mendiang berkumpul di kediamannya dalam suasana hiba sambil menanti ketibaan jasad pada tengah malam tadi. Terdahulu, jasad Nagaentran dituntut adiknya Navin Kumar, 22, di Penjara Changi dan dibawa dari Singapura ke Ipoh dengan menaiki van.

Turut kelihatan adalah ibu mendiang S Panchalai 60, yang sugul dan enggan ditemubual pemberita mengenai Nagaenthran 34, yang juga anak kedua daripada empat beradik.

Pada Selasa (26 April), Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan Panchalai untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

Nagaentran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72 gram heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif COVID-19 ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya. – Bernama

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version