Home Bahasa Malaysia Masjid terbakar selepas solat Isyak

Masjid terbakar selepas solat Isyak

Bachok: Kira-kira 300 jemaah masjid yang selesai menunaikan solat Isyak dikejutkan dengan bunyi letupan sebelum berlaku kebakaran di Masjid Mahmoodi, di sini, malam tadi. Dalam kejadian jam 9 malam tadi, kebakaran dipercayai bermula daripada bilik bilal sebelum merebak ke dewan mesyuarat dan bilik rehat tetamu masjid berkenaan.

Imam Tua masjid berkenaan, Mohd Rosman Che Harun, berkata ketika kejadian dia tiada di masjid kerana dalam perjalanan ke Kuantan atas urusan kursus. Katanya, melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak ahli jawatankuasa masjid, kejadian berlaku ketika imam solat sedang membaca doa selepas selesai solat Isyak.

Jemaah pada mulanya dikejutkan dengan bunyi satu letupan sebelum mikrofon tidak keluarkan suara. Selepas itu, baru jemaah perasan ada asap daripada bilik bilal dan kesemua jemaah menyelamatkan diri dengan keluar daripada masjid,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rosman berkata, kejadian kebakaran itu adalah kali pertama berlaku di masjid berkenaan yang terletak di hadapan Pantai Irama, Bachok. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Yus Heary Mahmud, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 9.11 malam.

Katanya, tujuh anggota serta satu jentera diketuai komander operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Azman Mohamed Ghani bertugas memadam kebakaran. Kebakaran membabitkan kemusnahan 70 peratus bahagian masjid di ruang pejabat, tiada mangsa dalam kejadian.

“Bomba berjaya mengawal kebakaran jam 9.22 malam dan operasi tamat sepenuhnya jam 10.49 malam termasuk kerja-kerja ‘overhall’ memastikan tiada lagi punca api di kawasan kejadian,” katanya. Yus Heary berkata, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-BH

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version