Home Bahasa Malaysia Pukul pemandu langgar orang, ...

Pukul pemandu langgar orang, 4 warga asing ditahan

Ipoh, Apr.
Polis menahan empat lelaki warga Pakistan kerana memukul pemandu kereta susulan kemalangan jalan raya yang menyebabkan tiga rakan senegara mereka maut di Kilometer 16, Jalan Teluk Intan-Bidor, Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri, berkata empat individu berkenaan ditahan pada 4.20 petang tadi selepas polis mengenal pasti suspek menerusi video tular di laman sosial, melibatkan pemandu kereta dan empat lelaki tersebut.

Hasil siasatan mendapati kejadian memukul pemandu itu berlaku sebaik sahaja selepas nahas 8.10 pagi itu.

Pemandu berusia 36 tahun didapati positif ganja membuat laporan polis berkenaan insiden dia dipukul, pada kira-kira 1 tengah hari tadi.“Kes memukul ini dibuka siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, tiga lelaki warga Pakistan maut manakala tiga lagi parah dirempuh kereta dipandu suspek ketika berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Dalam kejadian tersebut, kereta dipandu suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan terbabas dan melanggar enam warga Pakistan yang sedang berjalan kaki di bahu jalan.

Pada masa sama, pemandu berkenaan direman empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan iaitu memandu semasa di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version