Home Bahasa Malaysia Dadah RM2.4 juta diseludup guna kurier

Dadah RM2.4 juta diseludup guna kurier

Nilai, Apr.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan tiga cubaan menyeludup dan mengedar dadah melibatkan rampasan kira-kira 70kg pelbagai jenis bahan terlarang itu bernilai lebih RM2.4 juta bagi tempoh 7 April hingga 23 April lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Sazali Mohamad berkata rampasan pertama melibatkan dadah jenis ketamin seberat 6kg dan methamphetamine seberat 27.65 kg masing-masing dianggarkan bernilai RM300,000 dan RM884,800 di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.30 malam, 7 April.

“Dagangan dihantar menggunakan kurier dari Lembah Klang ke Sabah dengan menyalahgunakan nama syarikat penerima yang menjalankan perniagaan perkakasan (hardware) melalui udara dan barangan diikrarkan sebagai ‘hardware tools’,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Kastam.

Beliau berkata bagi kes kedua pula, kastam menyita tiga bungkusan diikrarkan sebagai seluar, namun menjumpai bahan kristal disyaki methamphetamine seberat 40.2kg dianggar bernilai RM1.28 juta dalam bungkusan teh herba Cina semasa serbuan di sebuah premis kurier di Subang Jaya, Selangor pada 8.30 malam, 18 April.

Menurut Sazali, dagangan dari cawangan kurier di Kedah yang dihantar ke hab ibu pejabat perkhidmatan kurier itu di Subang Jaya menggunakan laluan darat kemudian akan dihantar ke Kuching, Sarawak menggunakan laluan udara.

“Pembongkaran kes ini susulan kejayaan operasi tangkapan seorang warga tempatan oleh kastam Sarawak pada 6 Mac melibatkan dadah methamphetamine seberat 45kg, tertuduh juga telah didakwa di mahkamah pada 14 Mac di negeri itu,” katanya menurut FMT.

Beliau berkata dalam kes terakhir pula pihaknya merampas kanabis seberat 1,268g dianggar bernilai RM4,000 dalam satu kotak bungkusan diikrarkan sebagai makanan ringan di Pos Malaysia International Hub di kargo KLIA pada 12 tengah hari, 23 April.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version