Home Bahasa Malaysia BALAI MENJADI ‘MINI DISKO’, EMPAT ANGGOTA POLIS DITAHAN BERSAMA WANITA TAHANAN.

BALAI MENJADI ‘MINI DISKO’, EMPAT ANGGOTA POLIS DITAHAN BERSAMA WANITA TAHANAN.

Petaling Jaya, Jul 21-

Seorang ketua balai polis (OCS) bersama tiga anggotanya ditahan dalam serbuan parti liar oleh Bukit Aman di balai polis di daerah Kajang, petang semalam.

Dalam serbuan 6 petang itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman turut menahan empat wanita ketika sebahagian mereka sedang leka menari dan berkaraoke di sebuah bilik khas dijadikan “mini disko” di balai berkenaan.

Serbuan dilakukan hasil maklumat awam itu menahan OCS berpangkat sub inspektor, dua koperal dan seorang koperal sokongan serta empat wanita berusia 21 hingga 37 tahun.

Turut ditemui dalam bilik berkenaan ialah minuman keras dan mereka dipercayai meminum air ketum di bilik terletak di tingkat dua itu.

Bilik itu dijadikan seperti disko yang lengkap dengan lampu khas sebelum polis merampas botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon serta televisyen.

Mereka turut merampas lima botol mengandungi air ketum serta gambar lucah salah seorang anggota yang ditahan bersama seorang wanita.

Pengarah JIPS Bukit Aman Azri Ahmad yang mengesahkan kejadian itu memaklumkan penahanan mereka dibuat berdasarkan maklumat salah laku yang jelas.

Katanya, tindakan mereka adalah menyalahi SOP Covid-19.

“Penahanan dibuat ke atas mereka selepas didapati perbuatan itu dengan jelas melanggar SOP.

“Sekiranya ada yang melanggar peraturan atau SOP, kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Polis sedang melakukan siasatan lanjut terhadap kes itu termasuk mengambil tindakan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin boleh menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit yang boleh membahayakan nyawa.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version