Home Bahasa Malaysia Pasangan kekasih bunuh budak dipenjara 30 tahun

Pasangan kekasih bunuh budak dipenjara 30 tahun

Putrajaya, Okt 5.

Seorang wanita dan kekasihnya masing-masing dijatuhi hukuman penjara 30 tahun atas kesalahan membunuh anak lelaki wanita itu yang mayatnya ditemukan di ladang kelapa sawit sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Vazeer Alam Mydin Meera menjatuhkan hukuman penjara ke atas T Gayathry, 39, dan R Saravanan Kumar, 33, bermula dari hari mereka ditangkap.
Vazeer, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy, turut memerintahkan Saravanan, seorang bekas pengawal keselamatan, disebat 12 kali.

Gayathry tidak dikenakan sebatan kerana undang-undang melarang hukuman sebat dijatuhkan ke atas wanita.

Pada awal prosiding, M Visvanathan yang mewakili Gayathry selaku peguam memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menerima representasi yang dibuat bagi pihak anak guamnya.

“Mereka (pendakwa) bersetuju hukuman mati yang dijatuhkan ditarik balik, dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara,” kata Visvanathan, yang dibantu oleh V Sanjay Nathan.
N Selvarani, peguam mewakili Saravanan, kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau mendapat arahan untuk menarik balik rayuannya terhadap sabitan dan hukuman.

Pasangan kekasih itu pada mulanya didakwa membunuh S Kaviarasan, 5, di sebuah rumah di Taman Keladi, Kulim, antara 20 dan 27 Sept 2014.

Pada 24 Sept 2020, Mahkamah Tinggi mendapati kedua-dua mereka bersalah dan menjatuhkan hukuman mati.

Pesalah lelaki juga akan menerima hukuman sekurang-kurangnya 12 sebatan rotan.

Mengikut fakta kes, Gayathry pada mulanya memfailkan laporan mendakwa Kaviarasan hilang dari kawasan Esplanade di George Town pada 20 Sept 2014.

Bagaimanapun, selepas disoal siasat polis, dia mengaku anaknya dipukul dan dalam keadaan panik, dia dan Saravanan membuang mayat itu di ladang kelapa sawit di Bukit Mertajam.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version