Banjir di Terengganu, Perak makin buruk

Kuala Lumpur,Nov-
Situasi banjir di Terengganu dan Perak terus mencatatkan peningkatan, manakala Kelantan menjadi negeri terbaharu di landa banjir setakat semalam.

Di Terengganu, jumlah mangsa meningkat mendadak kepada 221 orang yang kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 29 orang sebelum itu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, memaklumkan daripada jumlah itu, 32 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Balairaya Padang Kemunting dan Balairaya Beris Nenas di daerah Kemaman.

Di daerah Dungun pula, 59 mangsa daripada 11 keluarga berlindung di tiga PPS iaitu Dewan Sivik Paka, Balairaya Alor Mak Bah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah sementara di Setiu hanya seorang mangsa masih berada di Balairaya Kampung Bintang.

Sementara itu, di daerah Marang seramai 114 mangsa daripada 30 keluarga berpindah ke tiga PPS iaitu Dewan Sivik Mercang, Dewan Sivik Wakaf Tapai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Rawai manakala di Besut sebanyak 15 mangsa daripada tiga keluarga berteduh Balairaya Kampung Pantai.

Di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 68 orang daripada 23 keluarga berbanding 66 orang pagi tadi. Kesemua mangsa ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Simpang Halt di daerah Larut, Matang dan Selama.

Menurut kenyataan Sekretariat JPBN Perak, kesemua mangsa terjejas merupakan penduduk dari Kampung Simpang Halt.

Di Kelantan, Bachok menjadi daerah pertama dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak Rabu lepas dan sebuah PPS dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here