Melaka, Kuala Terengganu, Seremban antara bandar paling bahagia

Bandaraya Melaka Bersejarah, Bandaraya Kuala Terengganu dan Seremban diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2019 di Malaysia sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2020 yang jatuh pada 20 Mac setiap tahun.

Turut tersenarai adalah bandar Bentong, Kuantan, Jasin, Kulai, Taiping, Jeli dan Yan yang dipilih sebagai bandar paling bahagia melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2019 yang dijalankan oleh PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa).

Kajian itu membabitkan dua bandar yang terletak dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar raya, enam bandar di kawasan PBT bertaraf perbandaran dan lagi dua bandar di kawasan PBT bertaraf majlis daerah.

Pengiktirafan Bandar Paling Bahagia 2019 ini adalah susulan daripada Anugerah Bandar Mampan 2019 yang sudah diisytiharkan pada November tahun lepas sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 oleh PLANMalaysia.

Ketua Pengarah PLANMalaysia, Encik Mohd Anuar Maidin berkata Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2019 sudah merekodkan tahap kebahagiaan negara secara keseluruhan berada pada paras bahagia dengan pencapaian 80.4 peratus.

Katanya, pengukuran Indeks Kebahagiaan di Malaysia dijalankan melalui Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia yang dikenali sebagai MURNInets.

“MURNInets merupakan alat yang digunakan bagi mengukur kemampanan kawasan PBT di negara ini di bawah seliaan PLANMalaysia. Indeks kebahagiaan merupakan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi tahap kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal.

Jelasnya, Indeks Kebahagiaan merupakan satu daripada indikator dalam MURNInets yang dinilai melalui borang soal selidik kepada penduduk yang merangkumi 14 aspek utama iaitu tahap kehidupan dan kesihatan; keselamatan kawasan kediaman dan kemudahan awam; infrastruktur asas yang disediakan; kebahagiaan bersama keluarga dan saudara-mara serta keseronokan bekerja.

“Aspek lain yang turut diambil kira ialah pengurusan kewangan; hubungan dengan jiran; aktiviti bersama komuniti; infrastruktur asas yang disediakan; perkhidmatan PBT dan pemimpin tempatan dan kualiti alam sekitar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here