13 tahun ‘berdiam’ dalam pondok

Che Hat berkata, dia mengalami kesukaran untuk memohon sebarang bantuan kerana tidak memiliki Mykad selepas semua dokumen pengenalan diri musnah akibat banjir kira-kira 20 tahun lalu.

Keadaan itu katanya, membuatkan dia malu untuk ‘menjaja’ kepayahan hidup dan selesa menjalani rutin harian di pondok berkenaan berbelas tahun lamanya.

“Alhamdulillah, setakat ini elok saja, tak ada haiwan berbisa atau buas yang datang mengganggu, tetapi dalam hati teringin juga nak merasa duduk di rumah yang lebih selesa,” katanya.

Sementara itu, nasib dialami Che Hat mendapat perhatian Exco Agama dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin yang menawarkan bantuan sewa rumah berhampiran kampung itu menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama berkata, lelaki berkenaan dibawa berpindah serta-merta dan kerja-kerja meroboh pondok akan dilakukan dalam masa terdekat.

Kunjungan Mohd Akmal hari ini memberi sinar baharu buat Che Hat yang akan berpindah ke kediaman lebih selesa.

“Che Hat seorang pendiam dan jarang berkongsi kisah hidupnya, sebab itu ramai yang tidak tahu keadaan sebenar yang dilalui.

“Sehinggalah semalam, ada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang maklumkan kepada pusat khidmat dan dengan bantuan beberapa agensi kerajaan, kita dapat gerakkan bantuan sewajarnya termasuklah menyediakan rumah untuk disewa,” katanya.

Beliau telah meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membantu menyegerakan proses mendapatkan Mykad baru lelaki berkenaan.

“Saya harap pada zaman ini, tidak adalah lagi mereka yang hidup seperti ini.

“Jawatankuasa kampung dan jiran-jiran perlu mainkan peranan, jaga anak buah kawasan dan maklumkan kepada pihak berkaitan agar ada pihak tampil menyelesaikan masalah yang berlaku,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here