Jambatan rosak sekitar Pasir Gudang

Beberapa jambatan di sekitar kawasan parlimen Pasir Gudang di sini rosak dipercayai akibat faktor cuaca selain kekerapan penggunaan dan trafik yang tinggi.

Justeru itu, ahli parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim memohon supaya kerja membaikpulih jambatan-jambatan itu akan dapat dilaksanakan segera oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berwajib.

Menurut Hassan yang melakukan tinjauan itu minggu lalu mendapati, antara jambatan yang terjejas adalah di Permas Jaya yang mengalami kerosakan pada struktur dan aspal jalan.

“Sejurus sahaja menerima laporan dari Biro Kebajikan Parlimen Pasir Gudang, saya meninjau keadaan jambatan Permas yang dikatakan telah berlaku mendapan dan boleh mengundang bahaya kepada para pengguna.

“Pihak kami telah memaklumkan perkara ini kepada pihak JKR agar jambatan ini segera diperbaiki bagi kemudahan orang awam kerana jambatan ini merupakan laluan utama pengguna ulang alik ke tempat kerja mereka,” katanya.

Dalam pada itu Hassan turut meninjau keadaan jambatan dekat Kampung Senibong yang digunakan penduduk bagi menghubungkan perumahan mereka dengan kawasan lain yang kini rosak dan berbahaya untuk dilalui.

Menurut Hassan lagi, pihak berkenaan sudah dimaklumkan perkara tersebut dan sebelum ini telah menyatakan tentang perancangan untuk menggantikan jambatan berkenaan dengan membuat jambatan konkrit di situ.

“Jambatan yang jadi penghubung penduduk di Kampung Senibong, di Pasir Gudang dalam keadaan yang buruk, daif dan merbahaya.

“Saya telah membangkitkan isu jambatan ini berkali-kali di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Johor Bahru supaya kerajaan menggantikan jambatan kayu ini dengan jambatan konkrit yang lebih kukuh dan selamat.

“Saya akan terus berusaha untuk memohon pihak kerajaan supaya membina jambatan yang baru bagi Kampung Senibong,” ujarya lagi.

Beliau terdahulu menyampaikan sumbangan keperluan asas makanan kepada pemandu-pemandu bas sekolah yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan mangsa banjir di sekitar kawasan Pasir Gudang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here