Hero filem ‘Hotel Rwanda’ Paul Rusesabagina ditangkap

PAUL Rusesabagina yang telah menyelamatkan beratus orang semasa kempen pembunuhan beramai-ramai di Rwanda pada 1994 ditangkap oleh pihak berkuasa Rwanda.

Menurut sumber dalaman Kerajaan Rwanda beliau kini ditahan setelah ditangkap dengan ‘bantuan antarabangsa’, tanpa menamakan negara yang berbuat demikian.

Rusesabagina berjaya menyelamatkan beratus penduduk Rwanda semasa konflik etnik tercetus di negara itu dengan cara memberikan perlindungan kepada mereka di dalam hotel yang diuruskannya.

Keberanian dan sifat kemanusiaan beliau kemudian dijejaki oleh Hollywood, justeru ceritanya dijadikan sebuah filem.

Sebelum ini Biro Penyiasatan Rwanda berkata satu waran tangkap antarabangsa telah dikeluarkan terhadap beliau dan beliau kini berada dalam tahanan polis di Kigali, ibu negara Rwanda.

Biro tersebut berkata Rusesabagina, 66, berdepan dengan tuduhan ‘menjadi pengasas, ketua dan penaja kumpulan-kumpulan bersenjata dan ekstremis.’

Menurut pihak berkuasa Belgium di mana Rusesbagina mempunyai pertalian, beliau tidak ditangkap di negara itu.

Para penyokong Rusesbagina berkata apa yang berlaku adalah bermotifkan politik kerana beliau sejak sekian lama menjadi sasaran kerajaan pimpinan Paul Kagame di Rwanda kerana lantang mengkritik pelbagai kepincangan dalam pentadbiran negara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here