Anwar menghadap Agong Selasa ini

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober ini.

Beliau dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata, Seri Paduka telah memperkenankan permintaannya untuk bertemu dan menetapkan tarikh tersebut.

“Pada majlis menghadap tersebut, saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini.

“Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing serta menghormati peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Pada 23 September lalu, Anwar memaklumkan sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong sehari sebelum itu, namun ditangguhkan kerana Seri Paduka menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Sebelum ini Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mendakwa sokongan itu terdiri daripada pelbagai parti termasuk yang menyokong kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah sebenar yang menyokongnya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here