Semua pekerja Lembah Klang, Labuan, Sabah kerja dari rumah

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mengambil keputusan agar pekerja bagi sektor awam dan pekerja swasta diperingkat pengurusan dan pengawasan tidak perlu untuk hadir ke pejabat dan hanya bekerja dari rumah (Work From Home).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri hari ini medengar pembentangan KKM berkenaan situasi semasa COVID-19 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah.

“Melihat kepada trend peningkatan kes positif COVID-19 di negeri dan wilayah-wilayah ini, terdapat keperluan bagi memperketatkan kawalan aktiviti pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan ini,” kata beliau.

Kata beliau, MITI memaklumkan bahawa hampir 800,000 pekerja sektor industri dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah akan terlibat dengan arahan ini.

“Arahan ini juga akan melibatkan seramai hampir 200,000 penjawat awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah,” katanya.

Walaubagaimanapun, katanya, terdapat pengecualian bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang terlibat dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan.

“Pihak majikan diarah untuk mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang terpaksa bekerja di pejabat sepanjang tempoh ini,” katanya.

Pekerja yang tinggal di kawasan zon merah pula perlu melakukan swab test dan jika pihak majikan mencarum dengan PERKESO, kos akan ditanggung oleh kerajaan.

“Pelaksanaan arahan ini akan berkuatkuasa bermula 22 Oktober 2020 sehingga pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah tamat,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here