Ibu bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Tun Rahah Mohamed Noah dimasukkan ke hospital berikutan komplikasi kesihatan.
Berita dukacita tersebut mendapat perhatian dan ihsan oleh ramai pihak, terutamanya pemimpin-pemimpin politik, tokoh serta warganet.
Najib menerusi satu hantaran di Facebook hari ini menzahirkan kebimbangannya terhadap keadaan kesihatan ibunya itu.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar bersama-sama mendoakan kesihatan dan kesejahteraan ibunda tercintanya itu.
“Bonda kurang sihat. Ramai yang datang menziarahi bonda di hospital. Saya minta saudara-saudari tolong doakan agar bonda diberi kekuatan dan sembuh.
“Ini tempoh yang amat sukar dan merisaukan untuk kami sekeluarga.
“Terima kasih Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta para pemimpin lain atas kesudian menziarahi bonda,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Namun apa yang turut menyentuh hati di sini adalah sifat ihsan yang dizahirkan oleh dua pemimpin utama iaitu perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudi menziarahi Najib di hospital tersebut.
Tolak tepi soal perbezaan politik, apa yang lebih penting pada ketika ini adalah sokongan moral dan doa serta silaturrahim sesama insan.