Seorang maut, seorang cedera ditembak di luar hospital Paris

Seorang lelaki bersenjata yang tidak dikenali menembak mati seorang lelaki dan mengakibatkan seorang wanita mengalami kecederaan teruk di luar sebuah hospital Paris kelmarin sebelum meninggalkan tempat kejadian dengan membonceng sebuah skuter, menurut polis dan beberapa saksi.

Pihak berkuasa menafikan ia adalah serangan pengganas, dengan kenyataan para saksi kelihatan menunjuk kepada satu pembunuhan yang di-sasarkan.

“Ia benar-benar kelihatan seperti satu hukuman mati gaya mafia, seperti dalam sebuah filem,” pemilik sebuah kafe yang terletak bertentangan dengan hospital memberitahu AFP, memohon supaya namanya hanya dinyatakan sebagai Arnaud.

Penyerang melepaskan beberapa das tembakan di hospital geriatrik swasta Henry Dunant yang dikendalikan oleh Palang Merah di daerah mewah 16th, kata penyiasat.

“Seorang meninggal dunia dan seorang lagi mengalami kecederaan serius,” menurut sumber perkhidmatan bomba.

“Ia kemungkinan satu tindakan membalas dendam,” sumber rapat dengan siasatan memberitahu AFP.

Satu lagi sumber rapat dengan siasatan menyata-kan, lelaki yang meninggal dunia telah dilahirkan pada 1987 serta sangat terkenal terutama bagi pembunuhan, pengedaran dadah dan pertubuhan jenayah.

Dua mangsa telah dibawa ke dalam hospital selepas kejadian tembakan pada awal tengah hari. Lelaki itu meninggal dunia akibat kecederaannya.

“Saya mendengar enam das tembakan yang kuat ketika saya sedang makan kira-kira jam 1.30 petang,” penjaga bangunan berhampiran memberitahu AFP.

“Saya segera keluar, dan saya melihat seorang pemuda kulit hitam terbaring di atas tanah, mukanya ke bawah dan di luar hospital.

“Dia mungkin berusia 20 atau 30 tahun dan sudah meninggal dunia,” kata penjaga bangunan tersebut, yang menolak memberitahu namanya.

Wanita yang tercedera bertugas sebagai pengawal keselamatan di hospital, yang menguruskan sebuah pusat vaksinasi COVID-19. Pendakwa raya menyatakan pada lewat kelmarin bahawa wanita itu berada dalam ke-adaan serius dan prognosisnya masih belum jelas.

Pendakwa raya menyata-kan, mereka telah meng-anggap kejadian tembakan sebagai satu pembunuhan dan satu cubaan membunuh.

Datuk bandar daerah Francis Szpiner memberitahu wartawan bahawa penyerang telah menembak beberapa kali ke arah lelaki itu.

“Ia kelihatan bahawa pe-ngawal keselamatan itu telah terkena tembakan peluru sesat,” jelasnya.

Szpiner berkata, kejadian tembakan adalah sama ada satu serangan pengganas atau satu serangan ke atas pusat vaksinasi.

Pemilik sebuah restoran di seberang jalan dari hospital memberitahu stesen televisyen BFMTV bahawa dia turut mendengar bunyi tembakan.

“Saya berpaling ke belakang dan saya melihat seorang lelaki melepaskan tembakan. Kemudian saya melihat dia menghampiri seorang lelaki yang terbaring di atas tanah dan melepaskan dua das tembakan di kepala-nya untuk menamatkan riwayatnya,” katanya.

Penembak kemudian berjalan pergi dengan gaya yang sangat tenang, seakan-akan tiada apa-apa yang telah berlaku,” jelasnya.

Aboubakar Fofana, cef di restoran, berkata dia melihat penembak tersebut membonceng sebuah skuter X-Max kelabu yang sedang menunggunya.

“Penunggang skuter itu berbadan agak besar, sementara penembak adalah lebih tinggi dan berbadan tegap,” menurut Fofana.

“Sepanjang masa tersebut dia berjalan dengan tenang, sangat tidak berperasaan, seakan-akan dia hendak pergi membeli secawan kopi,” ujarnya.

Polis menutup kawasan di sekitar hospital, dan pakar forensik sedang memeriksa tempat kejadian bagi petunjuk, kata wartawan AFP.

Selepas serangan, pihak hospital tidak mahu menerima masuk beberapa orang yang menunggu bagi temu janji dengan doktor, hanya membenarkan pesakit yang penting sahaja. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here