Wanita jatuh gaung dekat Pulau Mawar, tunggu tiga jam sebelum diselamatkan

Seorang wanita terpaksa menahan sakit kira-kira tiga jam sebelum diselamatkan dari gaung sedalam 20 meter, selepas beliau terjatuh ketika mendaki sebuah bukit di Pulau Mawar, Tanjung Resang, Endau, dekat Mersing pagi semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Endau PBK II Asrul Ahmad berkata, mangsa berusia 51 tahun itu cedera di kaki kirinya kerana dipercayai patah.

Katanya, mangsa dikatakan mula mendaki bukit itu bersama 11 rakannya pada pukul 7 pagi, sambil ditemani seorang malim gunung.

 “Ketika sedang mendaki, mangsa tiba-tiba terjatuh. Mangsa cuba diselamatkan oleh rakan-rakannya namun gagal, sebelum akhirnya mereka menghubungi bomba pada 8.36 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Asrul berkata, pihaknya menghantar seramai 12 anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian sejurus mendapat maklumat kejadian, tetapi berdepan dengan beberapa kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana keadaan tempat tersebut curam, dan perlu melalui kawasan paya bakau.

“Bomba mencuba beberapa kaedah untuk mengeluarkan mangsa termasuk menggunakan alat pengusung dan rentetan itu, mangsa akhirnya dapat dikeluarkan daripada gaung pada pukul 11.14 pagi dan diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here