Perbicaraan 1MDB tangguh, Najib alami bengkak mata

Mahkamah Tinggi membenarkan perbicaraan kes penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) RM2.28 bilion melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa ditangguhkan sebentar tadi.

Ini kerana Najib terpaksa mengambil cuti sakit hari ini selepas mengalami ‘hematoma’ (bengkak mata, pandangan kabur) selepas pembedahan mata pada Khamis lepas.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu, beliau hanya dapat memaklumkan kepada mahkamah pada pagi ini kerana menganggap sakit dan bengkak itu reda dalam beberapa hari.

Jelas Muhammad Shafee, anak guamnya (Najib) mahu menghadiri prosiding pagi ini namun sakit itu tidak reda, malah pandangan itu juga agak kabur.

“Untuk makluman Yang Arif, sebenarnya anak guam saya sudah diberikan cuti sakit selama tujuh hari sejak Khamis lepas namun tidak memaklumkan kepada mahkamah kerana beranggapan sakit itu boleh reda dan boleh ikut prosiding pagi ini. 

 “Tetapi ianya tidak hingga semalam dan pandangan Datuk Seri Najib agak kabur serta membengkak sehingga beliau terpaksa ambil cuti sakit hari ini.

“Kita berharap ianya akan kembali reda dan boleh sambung perbicaraan kemungkinan esok atau Khamis memandangkan Rabu adalah cuti umum Sambutan Wesak,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini setelah perbicaraan yang sepatutnya bermula sekitar 9 pagi tidak bermula seperti dijadualkan.

Bagaimanapun, Collin pula meminta Najib hadir prosiding pada hari esok dan memberitahu pembelaan tertuduh boleh duduk mendengar sahaja perbicaraan tanpa banyak melibatkan pergerakan.

“Kita cuba esok kerana lusa adalah cuti umum. Beliau (Najib) boleh duduk dan dengar perbicaraan berlangsung tanpa banyak pergerakan. Kita jadualkan semula prosiding esok, kita tengok macam mana esok,” putus Collin.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berhadapan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sepatutnya hari ini seorang lagi peguam bela, Wan Aizuddin Wan Muhammed meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-10 Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Prosiding dijangka bermula esok sekitar jam 9.30 pagi. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here