Anggota PGA, tukang kasut direman untuk membantu siasatan pembunuhan seorang lelaki kurang upaya

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan seorang tukang kasut direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian di Kampung Jawa Semenggok, Batu 12, di sini, 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Aidil Bolhassan berkata, anggota Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan menahan dua suspek tersebut yang datang menyerah diri di Balai Polis Batu 10 pada 12.30 tengah hari tadi.

Katanya, ia susulan laporan dibuat adik perempuan mangsa yang menyatakan abangnya meninggal dunia disyaki dipukul individu tidak dikenali.

Tangkapan pertama merupakan seorang lelaki berumur awal 50-an bekerja sebagai tukang kasut, manakala tangkapan kedua membabitkan seorang anggota polis berpangkat koperal bertugas di PGA Batu Kawan,katanya.

Aidil berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa yang menghidap penyakit bipolar bertindak agresif di tempat kejadian, iaitu di kawasan belakang rumah jirannya di kampung berkenaan dan didatangi dua suspek terbabit yang cuba menenangkannya.

“Kedua-dua suspek kemudian membawa mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri balik ke rumah keluarga mangsa sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak. Pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 6.35 petang di hospital.

“Bedah siasat akan dilakukan oleh pihak hospital sebaik sahaja keputusan saringan COovid-19 diperoleh bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya menambah kes itu diklasifikasi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan membunuh).

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan terperinci termasuk mengenal pasti saksi kejadian dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau sebarkan maklumat tidak benar yang boleh disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here