HISHAM PANGGIL 3 MENTERI BINCANG LONGGARKAN SOP

Menteri Kanan Pertahan Hishammuddin Hussein berkata dia akan bersama tiga menteri berkaitan akan berbincang mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan kelonggaran yang akan diperkenalkan dalam menuju fasa endemik Covid-19.

Tiga menteri yang akan dipanggil ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa.

“Sehubungan itu, saya akan memanggil ketiga-tiga menteri dalam masa terdekat untuk memulakan perbincangan secara terperinci dan membuat keputusan bersama tentang penyesuaian prosedur SOP serta bentuk kelonggaran seterusnya dalam menuju fasa endemik.

“Dalam pada itu, pada masa yang sama saya juga telah mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk terus mengemas kini SOP dan kelonggaran yang sudah dipersetujui bersama oleh kementerian-kementerian yang terlibat sebelum ini agar ia lebih mudah difahami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 1 Sep lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa Covid-19 akan dianggap sebagai endemik dan negara akan beralih daripada pendekatan pembendungan total.

Khairy Jamaluddin

Khairy berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia menerima kenyataan bahawa Covid-19 akan berada di kalangan masyarakat, dan dengan itu harus belajar hidup dengan virus tersebut.

Katanya, kerajaan mempermudah SOP sedia ada supaya jelas dan mudah difahami serta tidak terlalu banyak dan rumit.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata dia bersetuju bahawa negara sedang menuju ke arah endemik dan peralihan fasa endemik akan bermula pada hujung Oktober.

“Sebagai persediaan ke arah fasa berkenaan, kerajaan sedang meneliti kelonggaran-kelonggaran yang bersesuaian bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seharian yang lebih bebas dalam norma baru.

“Namun pada masa yang sama, kerajaan tetap menitikberatkan soal melindungi nyawa serta kesihatan rakyat disamping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kelonggaran-kelonggaran ini termasuklah kemungkinan membenarkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan yang lebih pelbagai serta membuka lebih banyak sektor,” katanya.

Bagaimanapun kata Hishammuddin, banyak faktor perlu diambil kira sebelum kelonggaran diberikan kerana ia melibatkan kesihatan rakyat dan keselamatan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here