Kuala Terengganu: Sebanyak 6,565 kes perceraian membabitkan pasangan beragama Islam direkodkan di Terengganu pada 2020 sehingga Oktober tahun ini. Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 4,132 kes perceraian dicatatkan pada 2020 manakala sehingga Oktober 2021 sebanyak 2,433 kes direkodkan.
“Kategori umur yang terbabit dalam perceraian adalah dalam lingkungan 21 hingga 65 tahun,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Beliau menjawab pertanyaan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) mengenai kes perceraian yang direkodkan di Terengganu, berapakah umur mereka yang terbabit dan sebab berlakunya perceraian itu.