Dengan hati terbuka, saya mohon maaf – Zul Ariffin

Kuala Lumpur: Selepas tiga hari mendiamkan diri apabila video babak panasnya bersama pelakon baru, Siti Hariesa tular dan mencetus kontroversi sejak Jumaat lalu, pelakon popular, Zul Ariffin akhirnya tampil membuat permohonan maaf, hari ini.

Zul yang juga pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 menerusi filem Sangkar membuat permohonan maaf itu menerusi Instagram Story yang dimuat naik kira-kira jam 1.30 petang, hari ini.

Dengan hati terbuka, saya ambil maklum di atas semua maklum balas dari banyak pihak berkenaan klip video yang dipaparkan sebelum ini. Saya mohon maaf kepada semua yang terkesan dari tindakan memuat naik video berkenaan, tulisnya di Instagram Story. Zul berkata, selepas ini dia akan lebih meneliti dan berhati-hati untuk memuat naik sebarang bahan yang diberikan kepadanya untuk dipromosikan di media sosial.

Terdahulu, Zul mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video di Instagram memaparkan beberapa babak panas bersama Siti Hariesa dalam drama terbaharu lakonannya berjudul Perempuan Itu, Jumaat lalu.

Menerusi video terbabit, Zul dilihat melakonkan beberapa babak panas dengan pelakon terbabit. Antara yang mencuri perhatian adalah ketika Zul merangkul badan Siti Hariesa dan menggendong wanita itu dari depan. Tidak hanya itu, terdapat juga babak agak mengghairahkan ketika Siti Hariesa menyuapkan ‘whipped cream’ ke dalam mulut Zul sebelum dia menghabiskannya.

Di ruangan komen, rata-rata netizen terkejut dengan video yang dimuat naik pelakon itu selain tidak kurang menganggap babak yang dilakonkan agak keterlaluan. Bagaimanapun, Zul bertindak memadamkan video berkenaan kelmarin, selepas ia mula menjadi kontroversi.

Tindakan Zul turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menegur perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam industri hiburan tempatan. Pihak TV3 dalam satu kenyataan memandang serius dan mengambil berat akan suara dan pandangan orang ramai mengenai video dalam petikan adegan daripada drama berkenaan.

Adegan yang dipaparkan sememangnya tidak sesuai untuk disiarkan apatah lagi bagi tujuan promosi. Malahan adegan itu juga tiada dalam perbincangan atau mendapat kelulusan daripada pihak stesen, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here