Tiga sahabat maut, dua parah

Teluk Intan: Tiga lelaki maut, manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki di kilometer 7 Jalan Maharalela – Teluk Intan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 9.40 malam itu, S Srinivasa Rao, 19, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala M Phooveandra, 26, dan K C Thinakaran, 19, menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI).

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lima lelaki terbabit dalam perjalanan dari arah Hutan Melintang menuju ke Teluk Intan.

Siasatan awal mendapati kereta dinaiki lima lelaki berkenaan terbabas dan masuk ke laluan bertentangan menyebabkan lori tangki dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta mangsa.

Kemalangan menyebabkan penumpang kereta berusia 19 tahun dan 26 tahun meninggal dunia, manakala pemandu kereta berusia 26 tahun dan seorang lagi penumpang kereta berusia 19 tahun parah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa beralamat di Hutan Melintang dan Teluk Intan dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan untuk menyambut hari lahir Thinakaran yang juga adik saudara pemandu kereta berkenaan.

Pemandu yang juga pemilik kereta balik bercuti ke kampungnya di Teluk Intan. Semasa kejadian, dia keluar bersama adik saudaranya serta rakan mereka hendak menyambut hari lahir Thinakaran di pekan Teluk Intan, katanya.

Ahmad Adnan berkata, ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HTI untuk proses bedah siasat hari ini selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19. Katanya, pemandu lori tidak cedera dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here