Yusoff Rawther dituduh edar dadah

Kuala Lumpur, Sep-
Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik Yusoff Rawther didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305g, minggu lalu.

Bagaimanapun, Yusoff hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret M. Arunjothi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 305g di kawasan tempat letak kereta hadapan surau IPK Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 Sept lalu.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama. Seksyen itu memperuntukkan penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Rafique Rashid.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 12 Nov setelah menerima laporan dari Jabatan Kimia.

Sementara itu, dalam sidang media selepas prosiding Rafique berkata pihaknya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi supaya Yusoff dibenar diikat jamin atas faktor keselamatan.

Rafique turut menggesa polis menyiasat dua laporan polis yang dibuat Yusoff dan keluarganya berkait beberapa individu yang ‘harus disiasat’.

“Kami percaya Yusoff menjadi mangsa penganiayaan. Kita akan cuba fail (permohonan ikat jamin) secepat mungkin di Mahkamah Tinggi nanti,”katanya.

Berkaitan pemilikan senjata api, Rafique berkata kes itu masih dalam siasatan polis.

Menurutnya, Yusoff akan ditahan di Penjara Sungai Buloh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here