Tembak mati ‘Kopi’, kerajaan Terengganu, MBD disaman

Kuala Lumpur, Dis-
Empat aktivis haiwan menyaman Majlis Daerah Besut (MDB) dan kerajaan Terengganu kerana menembak mati seekor anjing liar dinamakan Kopi dua bulan lalu.

Kartini Farah Abd Rahim, S. Mukunnan, Hong Hai San dan S. Shashi Kumar memfailkan saman pemula itu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 10 Dis lalu, dengan mendakwa tindakan MDB menembak mati anjing berkenaan melanggar Seksyen 29(e) dan 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (AWA 2015).

Mereka memohon perisytiharan bahawa tindakan MDB menembak anjing liar itu melanggar peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 30(2) AWA, yang hanya membenarkan penggunaan senjata api dalam situasi kecemasan atau kawalan penyakit dengan kebenaran pihak berkuasa veterinar.

Empat plaintif turut memohon perisytiharan bahawa Seksyen 9(1) dan (2) Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Besut) 1990 melanggar Seksyen 29(e) serta 30(1) AWA.

Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili plaintif dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berkata, kertas kausa diserahkan kepada defendan minggu lalu dan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menetapkan pengurusan kes di depan Hakim Hassan Abdul Ghani pada 15 Jan depan.

Mac lalu, rakaman video Kopi bermain dengan anak kucing terbiar tular di media sosial.

Pada 6 Okt lalu, akaun Instagram “My Forever Doggo” mendedahkan Kopi ditembak mati pihak berkuasa di Besut, Terengganu dalam operasi pelupusan anjing liar.

Sembilan hari kemudian, kira-kira 100 orang, termasuk wakil pelbagai kumpulan hak asasi haiwan berkumpul di IPD Sentul untuk membuat laporan dan menuntut keadilan bagi Kopi.- FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here