Putrajaya, Jan-
Keputusan menghentikan tol percuma pada musim perayaan masih belum dimuktamadkan kerana ia akan dibincang dan hanya diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi adalah berpandukan keputusan dasar yang dibuat sebelum ini.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan memberitahu, bagaimanapun kerajaan terbuka untuk menerima pandangan daripada pelbagai pihak dan bersedia mengkajinya.
“Kita menghormati perjanjian yang telah ditandatangani namun pada masa sama sedang mengkaji apa yang boleh kita lakukan untuk membantu rakyat.”Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu ini, apabila sekembalinya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari lawatan luar negara, akan membincangkan perkara ini dan kita tunggu apa hasil perbincangan di peringkat Jemaah Menteri,” katanya pada Rabu.





















