Kuala Lumpur, Jan-
Diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, hanya ditawarkan kepada pengguna kenderaan persendirian atau kelas 1.
Perkara itu diumumkan PLUS Malaysia sebentar tadi menerusi satu kenyataan ringkas menerusi akaun media sosial miliknya.
Diskaun berkenaan akan bermula pada jam 12.01 tengah malam ini hingga 11.59 malam, Selasa.”Rancang perjalanan anda dengan MyPLUS-TTA atau Aplikasi PLUS. Pandulah secara berhemah,” kata kenyataan berkenaan.
Pada Jumaat lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan bersetuju memberi diskaun tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina.Katanya, keputusan ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet pada hari itu yang membabitkan implikasi kewangan ditanggung kerajaan berjumlah RM20.08 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Beliau berkata, potongan tol akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari (Isnin) dan berakhir jam 11.59 malam 28 Januari bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja.





















