Kuala Lumpur, Apr-
Pemandu lori terlepas hukuman gantung selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Seremban atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian bapanya tanpa niat, pada 2023.
Hakim Rohani Ismail menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap K. P. Niruben, 28, bermula dari tarikh tangkap pada 5 Ogos 2023, setelah mengambil kira fakta pemberat dan rayuan mitigasi dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Niruben sebelum ini didakwa atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, perlu juga dikenakan sebat tidak kurang 12 kali, jika disabitkan kesalahan.
Namun, lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menyebabkan kematian terhadap K. K. Paramasivan, 51.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 12.20 tengah malam hingga 1.10 pagi di sebuah rumah di Kota Lukut, Port Dickson, pada 5 Ogos 2023.
Terdahulu, peguam S. Paul Krishnaraja yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara paling minimum, mengambil kira tertuduh merupakan pemandu lori dan terpaksa menjaga ibu dan adik, selain telah insaf semasa berada dalam tempoh reman.
“Mangsa merupakan bapa tertuduh dan pada hari kejadian, mangsa dalam keadaan amat mabuk dan telah bergaduh dengan ibu tertuduh, selain menggunakan kata-kata kesat yang kejadian itu sering berlaku, tertuduh cuba menghentikan perkara itu.























