Sepang, Jun-
Pemegang rekod kebangsaan 400 meter (m) wanita negara Shereen Samson Vallabuoy masih berharap untuk beraksi di Sukan Olimpik 2024 di Paris walaupun gagal melayakkan diri secara merit melalui catatan masa atau ranking dunia dalam acara kegemarannya.
Atlet berusia 25 tahun itu berkata walaupun terdapat kemungkinan untuk beralih kepada acara 100 m dalam pertandingan itu, dia akan menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dengan hati terbuka selepas bekerja keras untuk melayakkan diri ke temasya sukan dunia paling berprestij itu.
“Saya fikir Muhammad Azeem Fahmi dan saya telah bekerja keras. Kesimpulannya, kami berdua mahu mendapatkan wild card dan bertanding di Olimpik.
“Apa jua keputusannya, saya akan bersyukur dan gembira untuk kami berdua dan menerimanya,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini semalam.
Terdahulu, Shereen gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 walaupun beliau memenangi pingat emas dalam acara 400 m wanita pada Terbuka Kazakhstan di Almaty Sabtu lepas dengan masa 52.60 saat (s) kerana ia tidak cukup untuk melepasi masa kelayakan 50.95s untuk tiket automatik ke Olimpik Paris.



















