Kuala Lumpur, Jun-
Seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) ditahan bagi membantu siasatan berhubung perbuatan yang membahayakan kanak-kanak dalam kenderaan di atas jalan raya.
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata wanita berusia 46 tahun itu ditahan di IPD Kajang ketika hadir bersama suaminya untuk memberi keterangan pada 4.50 petang.
Polis terima laporan berkaitan video tular 28 saat yang dipercayai berlaku di Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, Selangor itu dimuat naik oleh pemilik akaun Tiktok.
“Dalam video tersebut menunjukkan tindakan berbahaya seorang kanak-kanak perempuan yang duduk di tingkap terbuka di sebelah pintu hadapan kiri pemandu sebuah kenderaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata wanita yang ditahan itu merupakan ibu kepada kanak-kanak di dalam kereta berkenaan dan kereta itu turut dirampas bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan lanjut mendapati tangkapan disahkan seorang OKU fizikal buta sebelah mata, manakala kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun yang tular di dalam video tersebut juga seorang kanak-kanak OKU,” katanya.





















