Tinjauan di Lebuhraya Persekutuan mendapati walaupun kebanyakan penunggang motosikal patuh dan memanfaatkan laluan khas disediakan kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya, namun masih banyak yang sanggup mempertaruhkan nyawa dengan menggunakan jalan utama.Keadaan sama juga berlaku di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dengan penunggang motosikal dilihat selesa menggunakan jalan utama tanpa menghiraukan risiko tatkala bersaing dengan kenderaan berat.
Sudah masuk tahun baharu 2020, namun sikap penunggang motosikal yang masih degil itu tidak asing dalam kalangan pengguna lebuh raya malah menjadi rutin kepada golongan berkenaan yang bukan sahaja berani ‘mencelah’ di antara kereta tetapi juga lori.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Supt Azman Shari’at berkata pelbagai alasan sering diberikan oleh penunggang motosikal setiap kali penguatkuasaan dilakukan di lebuh raya terbabit.
“Ada penunggang sengaja tidak mahu menggunakan laluan khas motosikal dengan alasan seperti mahu cepat sampai, jalan motosikal melambatkan pergerakan dan permukaan jalan (motosikal) yang rosak.
“Penguatkuasaan memang ada dan mana-mana penunggang motosikal yang ditahan kerana menggunakan jalan utama, mereka akan disaman. Setakat ini, hanya saman saja boleh dikenakan terhadap golongan ‘degil’ itu,” katanya .