Covid-19 : 4,627 Penduduk Sudah Disaring

Seramai 4,627 penduduk di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama Bukit Changgang yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran sudah disaring Covid-19, kata pegawai daerah Kuala Langat.

Mohd Jusni Hashim berkata jumlah itu membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.

“Sehingga kini, sembilan daripadanya positif, 2,253 negatif dan 2,365 masih menunggu keputusan, kita jangkakan keputusan penuh akan diperoleh pada Selasa ini,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan PKP Pentadbiran Kuala Langat, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman, Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Langat, Dr Wan Ahmad Razman Wan Abd Salim dan Pegawai Memerintah 8 RAMD, Sharil Izuan Oshaman.

Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP secara pentadbiran bermula 2 Jun lalu susulan 20 warga asing yang bekerja dengan syarikat pembersihan di KLIA dan tinggal di situ, disahkan positif Covid-19 minggu lalu.

Bagaimanapun, penduduk dibenarkan keluar masuk kerana pelaksanaan PKP di situ berbeza di tempat lain seperti Selangor Mansion dan Pasar Borong Selayang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here