PERODUA akhirnya setuju beli balik Bezza ‘bergula’…..dengan harga penuh!

Kuala Lumpur, Jan 6.
Seorang kerani di Segamat yang tular di media sosial berikutan PERODUA Bezza miliknya rosak selepas tidak sampai lapan jam dibelinya, kini mampu tersenyum lega.

Ini selepas pengeluar kenderaan berkenaan, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) bersetuju untuk membelinya semula dengan harga penuh.

Perkara itu dikongsikan pemilik kenderaan berkenaan, Nagakanni Subramaniam menerusi satu catatan pada akaun Facebook miliknya kira-kira sejam lalu.

Nagakanni, 31, yang bekerja sebagai kerani membeli kereta berkenaan dari sebuah pusat jualan kenderaan di Segamat, pada 17 Oktober lalu. Katanya, dengan perkembangan itu bermakna ia tidak lagi perlu membayar ansuran bulanan PERODUA Bezza itu manakala bayaran terdahulu akan dipulangkan semula. “PERODUA juga memberi tawaran untuk saya beli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama atau saya menolak tawaran ini dan beli kereta lain.

“Saya perlu buat keputusan dalam tujuh hari.Terima kasih PERODUA atas keputusan ini,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Sebelum ini, Nagakanni dalam perkongsiannya di media sosial mengeluh kerana terpaksa membayar pinjaman bulanan kenderaan terbabit sebanyak RM537 sebulan, walaupun kenderaan itu rosak dan tersadai di pusat servis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here