Peruntukan Honda Civic 1.8 untuk Polis KL

Polis Kontinjen Kuala Lumpur diperuntukkan sebanyak 40 unit kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Civic 1.8 untuk tugasan rondaan dan membanteras jenayah di ibu kota.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya telah menerima 28 unit kereta tersebut dan akan diagihkan kepada Ibu Pejabat Polis setiap daerah.

“Sebanyak 12 unit kereta lagi akan diterima dalam masa terdekat akan diagihkan kepada setiap polis daerah dan Unit Polis Pelancong,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan kereta peronda MPV Honda Civic 1.8 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mazlan berkata, unit kereta peronda MPV merupakan antara aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang amat penting bagi tujuan pencegahan jenayah.

“Kita mempunyai 283 unit kereta MPV, 163 unit MPV diagihkan kepada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, 15 unit MPV digunakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

“Sebanyak 69 unit MPV diserahkan kepada balai-balai dan 36 unit MPV lagi untuk kegunaan bahagian-bahagian lain,” katanya.

beliau berkata, sebanyak 64 unit MPV tidak dapat digunakan kerana mengalami kerosakan atau sedia dilupuskan.

“Terdapat dua jenis MPV digunakan pada masa kini iaitu Proton Waja dan Preve dan oleh kerana MPV Proton Waja mengalami banyak kerosakan dan keadaan keretanya yang kelihatan uzur, kerajaan membuat keputusan untuk menggantikan MPV itu secara berperingkat,” katanya.

Mazlan berkata, Unit MPV Polis Kuala Lumpur berjaya melakukan sebanyak 167 tangkapan pada tahun lalu.

“Sejak awal tahun sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 194 tangkapan telah dilakukan oleh unit MPV,” katanya.

Beliau berkata, perbandingan pencapaian dan nilai ambang jenayah indeks tahunan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei lalu menunjukkan kadar indeks jenayah di Kontinjen Kuala Lumpur sebanyak 3,279.

“Jumlah itu kurang daripada nilai ambang yang telah ditetapkan iaitu sebanyak 4,691 atau menurun sebanyak 30.1 peratus,” katanya.

Mazlan berkata, kepentingan dan keberkesanan Unit MPV dalam usaha mencegah dan membanteras jenayah tidak dapat dinafikan.

“Unit MPV ini juga memainkan peranan yang sangat penting dalam kepolisan masyarakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here