Jumlah mangsa banjir di Muar, Batu Pahat dan Pontian tidak banyak berubah dengan seramai 687 orang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) pada malam Selasa (23 Jun) berbanding 731 orang pada petang Isnin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R.Vidyananthan, berkata setakat 8.00 malam semalam, jumlah berkenaan melibatkan 176 keluarga berada di 14 PPS.
“Seramai 281 orang daripada 80 keluarga masih berada di lima PPS di Muar iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Nawi, SK Orang Kaya Ali, SK Batu 18, SK Parit Bulat serta SK Seri Menanti berbanding 316 orang daripada 86 keluarga, pada petang Isnin.
“Di Batu Pahat pula, seramai 205 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Peserai, Sekolah Agama 3 Serangkai dan SK 3 Serangkai,” katanya.
Di Pontian, seramai 201 orang daripada 52 keluarga masih berada di enam PPS iaitu SK Seri Bukit Panjang, SK Seri Bunian, SK Kampung Melayu Raya, SK Agama Parit Sikom, SK Belokok serta SK Penerok.
Beliau berkata PPS SK Agama Parit Sikom mula dibuka pada 5.00 petang semalam, SK Belokok pada 6.00 petang dan diikuti SK Penerok pada 7.00 malam.
Banjir di beberapa daerah di Johor melanda sejak Sabtu lalu apabila beberapa kawasan rendah dinaiki air berikutan hujan lebat melebihi kadar biasa ditambah dengan fenomena air pasang.