COVID-19: Arab Saudi benarkan sekitar 1,000 jemaah tunaikan haji tahun ini

Arab Saudi akan membenarkan hanya kira-kira 1,000 jemaah yang menetap di negara itu untuk menunaikan ibadah haji tahun ini, kata seorang menteri pada Selasa (23 Jun). Ini setelah diumumkan bahawa jemaah bagi ibadah itu akan dikurangkan dalam usaha membendung penularan COVID-19.

“Ia akan melibatkan kira-kira 1,000 jemaah, mungkin kurang, mungkin lebih sedikit,” Menteri Haji Mohammad Benten memberitahu para wartawan.

“Bilangannya tidak akan menjadi puluhan atau ratusan ribu jemaah tahun ini,” tambah beliau.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Tawfiq al-Rabiah memaklumkan bahawa haji tahun ini – yang dijadualkan bermula hujung Julai – akan hanya dihadkan kepada jemaah berumur bawah 65 tahun dan tidak menghidap sebarang penyakit kronik.

Beliau menambah para jemaah akan melalui ujian saringan COVID-19 sebelum tiba di Tanah Suci Makkah dan dikehendaki menjalani kuarantin di rumah selepas menunaikan ibadah haji.

Arab Saudi mengumumkan pada Isnin ia akan menampung jumlah jemaah “sangat terhad” bagi ibadah haji tahun ini sedang ia berusaha untuk mengekang penularan virus korona di negaranya yang mencatatkan jumlah kes terbesar dalam kalangan negara Teluk.

Ia menyatakan ibadah haji tahun ini akan dibuka kepada jemaah pelbagai kerakyatan yang sudah berada di negara itu.

Keputusan untuk tidak menerima kemasukan jemaah haji dari luar Arab Saudi itu adalah yang pertama dalam sejarah moden negara tersebut. Bilangan itu jelas jauh lebih rendah berbanding 2.5 juta jemaah yang menunaikan ibadah haji pada tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here