Penumpang, pemandu terselamat bas terbakar

Seramai 29 penumpang dan pemandu nyaris rentung apabila bas ekspres yang mereka naiki terbakar di Kilometer 58 Lebuhraya Pantai Timur, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, bas terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tangah hari.

“Seramai lapan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kami mengambil masa kira-kira 16 minit untuk ke lokasi kejadian yang terletak 39 kilometer dari BBP Bentong.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati api sedang marak dan menyebabkan bas berkenaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Sani berkata, pihaknya menggunakan dua saluran air untuk memadam api berkenaan.

“Kami mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengawal sepenuhnya kebakaran itu.

“Difahamkan kesemua 29 penumpang dan dua pemandu bas berjaya menyelamatkan diri dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here