Misteri Kehilangan Tugu Dihadapan Menara Condong Teluk Intan

Pendudukan tentera Jepun dari tahun 1942 sehingga 1945 telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap penduduk di Tanah Melayu, Sarawak dan Borneo Utara.

 

Kesannya terasa di setiap pelusuk masyarakat dan tidak terkecuali turut dirasai oleh komuniti masyarakat Cina yang ramai dibunuh secara sistematik oleh tentera Jepun.

Kisah pembunuhan beramai-ramai dan penyeksaan secara terbuka yang dilakukan oleh tentera Jepun masih lagi diceritakan sehingga ke hari ini. Bahkan permohonan maaf kerajaan Jepun atas peristiwa silam yang pernah berlaku masih lagi tidak dapat menyembuhkan luka kehilangan ahli keluarga tersayang akibat jenayah perang yang dilakukan itu.

Disebabkan itu komuniti Cina telah menubuhkan Malayan People’s Anti Japanese Army yang berorientasikan untuk menjalankan serangan secara gerila dan sabotaj ke atas fasiliti dan infrastruktur asas bagi melemahkan tentera Jepun.

Namun tindakan mereka ini memburukkan lagi keadaan kerana selepas setiap serangan yang dilakukan, tentera Jepun akan menyasarkan masyarakat awam Cina sebagai mangsa untuk membalas dendam.

Disebabkan itu selepas Perang Dunia Kedua tamat, banyak tugu peringatan dibina bagi memperingati peristiwa yang meninggalkan kesan sangat mendalam terhadap diri mereka. Tugu-tugu ini dapat dilihat di Singapura dan Pulau Pinang serta kawasan yang mempunyai ramai orang Cina.

Manakala komuniti cina di Teluk Intan telah mendirikan sebuah tugu dihadapan Menara Condong Teluk Intan sebagai tanda kejayaan menghalau tentera Jepun keluar dari Malaya.

Namun tidak diketahui pihak manakah yang membina tugu ini. Terdapat pihak yang mengatakan bahawa ia dibina oleh pihak yang pro komunis. Ada juga yang berkata bahawa golongan Cina pro koumintang yang membinanya.

Dengan bentuk seperti obeliks dan terdapat bintang diatasnya, tugu ini kelihatan seperti kebiasaan tugu yang dibina di Negara China dengan rekaan yang banyak terdapat pada tugu binaan komunis.

Pada tugu ini pula terdapat inskripsi dalam bahasa Cina yang bermaksud “Perang Sudah Tamat”. Dua gambar ini mengesahkan bahawa tugu ini sememangnya pernah wujud namun ia tidak pernah direkodkan dalam mana-mana penulisan.

Tetapi hayat tugu ini tidak lama. Tugu yang dibina selepas perang tamat ini kemudiannya telah dirobohkan dan faktor ia dimusnahkan dikatakan lebih bersifat politik. Namun faktor selanjutnya masih tidak diketahui sehingga kini.

Jika anda punyai lebih mempunyai maklumat yang mendalam berkenaan tugu ini, anda boleh komen di ruangan komen agar misterinya dapat dirungkai dan dijadikan iktibar buat generasi kini.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here