KKM: Semua garam halus perlu tambah iodin sebelum dijual

Semua garam halus atau garam yang beratnya 20 kilogram atau kurang perlu ditambah dengan iodin sebelum boleh dijual di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pindaan peraturan itu adalah susulan hasil Tinjauan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) Kebangsaan yang menunjukkan 48.2 peratus kanak-kanak sekolah rendah berumur 8-10 tahun mengalami masalah kekurangan iodin.

“Selain itu, 2.1 peratus kanak-kanak mengalami masalah goiter. Bagi tinjauan melibatkan wanita hamil dan murid sekolah, pengambilan iodin juga tidak mencapai paras optimum,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Oleh itu, Dr Noor Hisham berkata pelaksanaan Pengiodinan Secara Universal di Malaysia (USI) dapat membantu meningkatkan pengambilan iodin dalam kalangan masyarakat memandangkan garam merupakan bahan asas yang digunakan di semua peringkat masyarakat tanpa mengira status pendapatan.

Beliau berkata peraturan itu adalah berdasarkan pindaan Peraturan 285 berkaitan Garam Halus Beriodin atau Garam Beriodin di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah diwartakan pada 12 November 2018 dan akan dikuat kuasa di seluruh negara pada 30 September ini.

“Dalam hal ini, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kepatuhan peraturan ini setelah dikuatkuasakan,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan kegagalan mematuhi pindaan Peraturan 285 adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan, pengilang serta penjual boleh dikenakan denda hingga RM10,000 atau penjara hingga dua tahun.

“Pada masa sama, pengguna juga diingatkan bahawa pengambilan garam tidak perlu ditingkatkan kerana garam secara berlebihan dalam makanan pula boleh menjurus kepada penyakit tidak berjangkit yang lain misalnya hipertensi (darah tinggi),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here