Sime Darby Plantation, Jabatan Penjara beri peluang kedua kepada orang diparol

Sime Darby Plantation Bhd (SDP) dan Jabatan Penjara Malaysia telah bekerjasama dalam program ‘Corporate Smart Internship (CSI)’ di ladang kelapa sawit SDP untuk memberikan latihan kemahiran teknikal dan sosial kepada orang diparol dan orang diselia yang bakal menamatkan hukuman.

Program ini bertujuan untuk membantu mereka mempersiapkan diri untuk permulaan kehidupan yang baharu selepas dipenjarakan dan memberi peluang untuk menyertai syarikat itu setelah tamat tempoh parol, bergantung kepada tingkah laku dan prestasi mereka semasa menjalani program tersebut, kata syarikat itu.

“Sejak bermulanya kerjasama itu pada 2018, 40 orang diparol telah menyertai operasi di SDP di Sarawak sementara seramai 20 orang diselia telah memulakan latihan mereka sebagai sebahagian daripada program di Ladang CEP Renggam, Renggam, Johor dan Ladang Jabor di Kuantan, Pahang,” katanya,

 

Ketua Pegawai Sumber Manusia SDP, Zulkifli Zainal Abidin berkata mereka telah ditawarkan insentif, termasuk gaji minimum sebanyak RM1,100, serta gaji bagi bekerja lebih masa sekiranya mereka dapat melaksanakan tugas yang ditetapkan melebihi sasaran yang ditetapkan.

“Industri minyak sawit adalah industri yang berintensifkan buruh, justeru penyertaan anggota masyarakat setempat sebagai tenaga kerja dalam industri itu sentiasa dialu-alukan.

“Kami percaya program ini merupakan salah satu cara yang dapat membantu kami mengukuhkan permintaan untuk menambah lebih ramai pekerja di ladang kelapa sawit SDP,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here