KTMB dedah lima lokasi ‘panas’ insiden langgar haiwan

Syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mendedahkan sebanyak lima lokasi ‘panas’ di Semenanjung Malaysia yang kerap berlakunya insiden kemalangan melibatkan tren dengan haiwan.

Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad ‘Asri Khalbi berkata, lima lokasi tersebut adalah Labu dan Jempol (Negeri Sembilan), Bera (Pahang), Tapah (Perak) serta Gua Musang (Kelantan).

“Sepanjang Januari hingga September tahun ini, sebanyak 70 kes tren melanggar haiwan ternakan penduduk seperti lembu, kerbau dan kambing sepanjang laluannya di seluruh jajaran KTMB di Semenanjung Malaysia.

“Pada tahun lalu, sebanyak 121 kes tren melanggar haiwan ternakan berlaku dari Januari hingga Disember,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, sebagai langkah pencegahan pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan telah mengadakan lima siri pertemuan dengan penternak di lokasi panas itu.

Katanya, menerusi pertemuan itu KTMB telah mengingatkan penternak supaya tidak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran sesuka hati, kerana ia boleh membahayakan penumpang dan kerosakan pada tren.

“Walaupun peringatan sudah dikeluarkan kepada penduduk yang tinggal berdekatan laluan tren supaya menambat ternakan mereka namun masih ada dalam kalangan penduduk yang berdegil dan tidak mengambil serius mengenainya.

“Apabila berlaku kejadian seumpama itu dan ketika siasatan dilakukan, tidak ada mana-mana penduduk mengaku yang ia membabitkan haiwan ternakan mereka kerana khuatir akan diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Ahmad ‘Asri berkata, kebiasaannya pihak KTMB akan memaklumkan jadual perjalanan tren kepada penternak bagi mengelakkan berlaku kejadian yang tidak diingini terutamanya pada waktu malam.

Katanya, pemandu tren juga sudah sedia maklum dengan lokasi panas itu dan mereka akan memperlahankan kereta api bagi mengelakkan kemalangan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad ‘Asri berkata, gajah antara hidupan liar yang melintasi landasan kereta api secara ‘mengejut’ menyebabkan pengangkutan awam itu terpaksa merempuh haiwan liar tersebut.

Katanya, terkini insiden pelanggaran haiwan itu berlaku di Kuala Krai pada 15 September lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here