Empat maut dalam nahas udara di Perancis

Empat maut dan seorang masih hilang selepas sebuah pesawat pelancong dan sebuah pesawat mikro ringan bertembung di barat Perancis kelmarin, kata pihak berkuasa tempatan.

Pesawat mikro ringan membawa dua orang itu berlanggar dengan pesawat pelancong DA40 yang membawa tiga orang di dalamnya kira-kira jam 4.30 petang waktu tempatan di Loches di bahagian Indre-et-Loire, kata pegawai kerajaan tempatan Nadia Seghier.

“Pesawat mikro ringan itu mendarat di atas pagar sebuah rumah tanpa membahayakan sesiapa, pesawat DA40 itu pula terhempas beberapa ratus meter jauhnya di kawasan yang tidak didiami,” menurut Seghier.

Gregoire Dulin, pendakwa raya dari Tours berhampiran, menyatakan bahawa empat mayat telah ditemui dalam nahas malang itu.

“Seorang yang dipercayai turut terjatuh, kemungkinan dari pesawat, masih belum ditemui,” kata beliau sambil menambah bahawa pesawat DA40 itu melanggar sebatang pokok di sebuah kawasan yang sukar untuk didekati.

Seorang saksi Genevieve Allouard-Liebert menyatakan, beliau telah mendengar satu nahas besar ketika berada di halaman rumah bersama suaminya.

Kedua-dua mereka melihat seorang lelaki jatuh dari ketinggian puluhan meter dari pesawat yang lebih besar ke atas padang ketika pesawat itu melayang melepas bumbung-bumbung rumah berhampiran, tambah beliau.

Juruterbang berusia 75 tahun telah menerbangkan pesawat DA40 itu bersama dua penumpang berusia 28 dan 30, manakala pesawat mikro ringan dipandu warga emas berusia 66 tahun yang membawa seorang penumpang berusia 50 tahun, menurut Dulin.

Kesemua mangsa dalam nahas tersebut tidak mempunyai sebarang hubungan antara satu sama lain.

Kira-kira 50 anggota bomba telah diarahkan menangani nahas tersebut, sementara 30 anggota polis melakukan perubahan arah jalan di sekitar dua kawasan nahas.

Punca pertembungan masih dalam siasatan.

“Tidak pernah terdapat sebarang trafik udara di sekitar Loches, ini merupakan satu kemalangan yang tidak mungkin berlaku dan tidak dapat dipercayai,” kata datuk bandar Marc Angenault.

Beliau mencadangkan bahawa pancaran sinaran matahari lewat tengah hari yang mengaburi mata mungkin telah mengganggu penglihatan salah seorang juruterbang.

Pertembungan di antara pesawat mikro ringan dan pesawat lain jarang berlaku, walaupun satu kemalangan pada Ogos 2019 di antara sebuah kapal terbang mikro ringan dan sebuah helikopter di atas pulau Sepanyol Mallorca telah mengorbankan tujuh orang termasuk dua kanak-kanak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here