Seorang kakitangan kepada penyewa sebuah premis di tingkat tujuh pusat beli-belah Sogo Kuala Lumpur disahkan positif Covid-19 pada Jumaat.
Sogo Malaysia dalam kenyataan memaklumkan petugas di premis AII IT Hypermarket tidak hadir bekerja sejak 12 Oktober lalu dan kini berada dalam pemantauan hospital.
“Kami menutup serta-merta premis berkenaan dan seluruh tingkat tujuh pada Jumaat untuk kerja sanitasi serta nyahkuman termasuk kawasan awam sekitarnya.
“Tingkat tersebut beroperasi semula hari ini (semalam) kecuali All IT Hypermarket yang terus ditutup sehingga notis selanjutnya,” katanya.
Kenyataan sama menyebut pengurusan pusat beli-belah sedang mengesan kontak rapat kakitangan itu melalui daftar masuk kod QR dan menambah semua rakan sekerjanya sudah menjalani saringan Covid-19 dan menempuh kuarantin kendiri.
“Kami akan meneruskan langkah pencegahan dan berjaga-jaga kerana keselamatan serta kesejahteraan pekerja juga orang awam menjadi keutamaan,” katanya.
Tambahnya, tingkat bawah dari paras LG sehingga tingkat enam beroperasi seperti biasa.