Ular tedung ‘lawat’ rumah ADUN Galas

Keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim terkejut apabila rumahnya di Bandar Utama di sini dimasuki seekor ular tedung selar petang semalam.

Reptilia sepanjang lima meter itu disedari berada di bawah sofa oleh isteri wakil rakyat berkenaan, Nor Azila Sidi Ahmad, 39, pada jam 3 petang.

“Isteri saya menyangka reptilia itu selipar dan menguis dengan kaki sebelum melihat objek tersebut bergerak,” katanyan.

Kehadiran reptilia sepanjang lima meter itu disedari oleh isteri Mohd Syahbuddin di Bandar Utama, Gua Musang.

Sebaik menyedari objek berkenaan seekor ular, Nor Azila yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2 terus bertindak melarikan diri.

Menurutnya, ketika kejadian beliau berada di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Galas yang terletak tidak jauh dari rumah sebelum menerima panggilan telefon daripada seorang anaknya memaklumkan perkara itu.

“Saya terus memaklumkan perkara itu kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang.

“Sebaik sahaja pulang ke rumah, isteri dan tiga anak berada dalam ketakutan kerana ular tedung selar masih berada di bawah kerusi ruang tamu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Gua Musang, Leftenan Mohd Yussalmi Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu pada jam 3.10 petang.

Katanya, seramai tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus sampai kita telah menemui seekor ular tedung selar di bawah sofa di ruang tamu rumah wakil rakyat itu.

“Anggota kita mengambil masa 10 minit untuk menangkap ular tedung selar itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here