Cemar Sungai Gong: Bapa dan anak akan didakwa esok

Bapa dan anak yang direman bersama enam pekerjanya pada 22 Oktober lalu kerana disyaki terlibat dalam kes pencemaran Sungai Gong, Selangor akan diheret ke Kompleks Mahkamah Selayang, Gombak esok.

Sebelum ini mereka ditahan reman sehingga 28 Oktober sebelum disambung reman bagi membantu dan melengkapkan siasatan pencemaran sungai tersebut yang menjejaskan bekalan air kira-kira 1.2 pengguna di Lembah Klang lebih 5 hari berturut-turut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat berkata, kertas siasatan ke atas mereka telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara hari ini.

 “Peguam Negara telah memberi kelulusan dan mengarahkan mereka dihadapkan dan dituduh di mahkamah.

“Kedua-dua suspek akan ddakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga tindakan yang dilakukan  memutuskan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau dalam menjalankan sebarang pengeluaran.

Mereka yang masing-masing berusia 31 dan 61 tahun itu turut didakwa dengan pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang jam 9 pagi esok,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah beliau manakala enam lagi suspek yang merupakan pekerjanya iaitu dua warga tempatan dan empat warga asing akan dijadikan saksi pendakwaan ke atas kedua-dua suspek utama itu.

Katanya kesemua enam pekerja berkenaan adalah berusia 25 hingga 66 tahun.

“Saksi-saksi pendakwaan ini akan diikat jamin dengan bon polis di bawah Seksyen 118 Kanun Acara Jenayah.

“Untuk makluman terdapat lima kes berkaitan pencemaran yang disiasat polis Selangor.

“Ini adalah kes kedua dituduh bagi kesalahan mencemar air sejak JSJ Selangor mengambil alih tindakan pada September lalu.

“JSJ Selangor akan memastikan tindakan siasatan dan pendakwaan diambil ke atas mereka yang melakukan kesalahan mencemarkan sungai,” tegas beliau. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here