Sekat perjalanan di zon merah

Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI) mahu perjalanan di kawasan zon merah dihentikan dengan segera bagi mengurangkan penyebaran pandemik secara meluas ke kawasan-kawasan lain.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SERI, Dr Helmy Haja Mydin berkata, langkah-langkah menyeluruh perlu dilaksanakan bagi membendung penyebaran virus dengan meluas.Menurutnya, sebarang aktiviti yang melibatkan orang ramai berkumpul perlu dikurangkan kerana kadar penularan jangkitan dapat berlaku dengan lebih pantas.

“Kerajaan mesti menghentikan perjalanan orang ramai ke kawasan zon merah.

“Selain itu, acara dan perhimpunan awam yang termasuk yang bersifat politik perlu ditutup.

“Acara-acara itu mendedahkan kepada penularan secara berkelompok sekali gus meningkatkan tahap penularan sesama mereka,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, aktiviti Pilihan Raya Umum (PRU) perlu ditangguhkan sehingga pandemik berada dalam keadaan terkawal.

“Kegiatan perayaan dan aktiviti melibatkan keagamaan seperti solat Jumaat, perayaan Tahun Baharu Cina juga perlu dihadkan,” katanya.

Helmy yang juga Pakar Perunding Respiratori Hospital Pantai Kuala Lumpur berkata, langkah mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh terhadap kawasan yang mempunyai kes aktif.

“SOP mesti dikuatkuasakan secara menyeluruh. Tiada individu harus dikecualikan daripada mematuhi SOP oleh Kementerian Kesihatan.

“Kenal pasti terhadap kes aktif di kawasan berisiko tinggi termasuk kilang, tapak pembinaan, pusat banjir sementara dan penjara,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here