Johor Bahru, July-
Sindiket pemalsuan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berjaya ditumpaskan selepas beroperasi kira-kira enam tahun lalu.
Dalam operasi imigresen Johor di sebuah rumah kedai pada Rabu lalu, lima warga Myanmar dipercayai dalang ditahan melibatkan empat lelaki dan seorang wanita berusia 26 hingga 49 tahun.
Pengarah imigresen negeri, Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata sindiket mengenakan caj bayaran RM5,000 dengan menjadikan warga etnik Arakan yang datang ke Kluang untuk mencari pekerjaan.
“Sindiket dipercayai aktif sejak lima hingga enam tahun lepas. Sasaran mereka ialah warga asing etnik Arakan yang datang ke Kluang mencari pekerjaan dan mempunyai masalah dokumen perjalanan. Caj bayaran kad ialah RM5,000 seorang,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Johor Bahru.
Beliau berkata, turut dirampas dalam operasi itu dua pasport Myanmar, 12 keping Kad Arakan, sebuah telefon pintar jenama Oppo, borang pendaftaran UNHCR dan wang tunai RM15,855.
Dalam serbuan itu turut ditemukan tiga lelaki Myanmar berusia 35 hingga 49 tahun yang dikurung sejak dua minggu lalu dipercayai kerana belum mendapat pekerjaan dan diarahkan menunggu di premis itu sehingga diambil majikan.
























