Negara lain tak gantung fungsi Parlimen

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang hari ini mempertikaikan keperluan menggantung fungsi Parlimen susulan pengumuman pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurut pemimpin veteran DAP itu, negara lain di seluruh dunia juga turut mengisytiharkan darurat dalam membendung Covid-19, tetapi masih meneruskan fungsi Parlimen atau legislatif mereka.

“Muhyiddin juga perlu beringat bahawa negara lain di seluruh dunia telah pun mengisytiharkan keadaan darurat untuk melawan Covid-19 tanpa menggantung fungsi Parlimen atau legislatif mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan mengapa tempoh darurat perlu diadakan dalam tempoh yang panjang, sehingga tujuh bulan.

“Tambahan lagi, proklamasi darurat di negara-negara lain tidak berlangsung hampir selama tujuh bulan. Mengapakah perkara ini berlangsung selama ini di Malaysia?” soalnya.

Kit Siang berkata, adakah ini bermakna Kerajaan Perikatan Nasional tidak mempunyai keyakinan terhadap pelaksanaan semula PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan di negeri-negeri tertentu dapat menghentikan penularan dan kematian akibat wabak Covid-19.

“Muhyiddin telah mengatakan bahawa kerajaan memerlukan sesetengah kuasa untuk melawan wabak Covid-19 yang semakin meneruk.

“Muhyiddin tidak sepatutnya bimbang dengan perkara ini, memandangkan saya yakin bahawa Parlimen tidak akan menghalang undang-undang untuk memberikan kerajaan semua kuasa yang diperlukan untuk melawan wabak Covid-19 dengan efektif, memandangkan semua rakyat Malaysia bersatu hati dalam tugas penting melawan wabak Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, Muhyiddin telah mengumumkan pengisytiharan darurat kurang daripada dua puluh empat jam selepas beliau mengumumkan pelaksanaan PKP di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan yang berkuatkuasa selama 14 hari bermula 13 Januari 2020.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here