Lelaki bersenjata culik 30, bunuh 12 di Nigeria

Sekurang-kurangnya 30 orang diculik dan 12 lagi dibunuh dalam satu siri serangan di barat laut Nigeria, saksi memberitahu AFP kelmarin, beberapa jam selepas presiden menggantikan beberapa komander tenteranya.

Presiden Muhammadu Buhari berdepan banyak tekanan ketika pasukan tenteranya berusaha untuk menyelesaikan masalah ke-selamatan Nigeria.

Negara itu sedang berdepan satu penentangan selama sedekad di timur laut, kumpulan bersenjata di barat laut, konflik puak di wilayah tengah, ketegangan akibat pemisah di tenggara dan kegiatan lanun di Teluk Guinea.

Kelmarin, lelaki bersenjata yang menunggang motosikal menyerbu kampung Kungi di wilayah Kaduna, membunuh seorang dan menculik 30 yang lain, menurut penduduk.

“Mereka muncul pada kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan dan bergerak dari rumah ke rumah, menangkap orang,” kata seorang penduduk Umaru Abdullahi.

“Kami melakukan pe-ngiraan selepas penyerang tersebut pergi dan kami menyedari mereka telah menculik 30 orang,” kata Abdullahi, yang mempu-nyai tiga saudara di kalangan tebusan itu.

Seorang penduduk lain, Muntari Sani, menyatakan wanita dan kanak-kanak adalah di kalangan mereka yang diculik.

Di wilayah barat laut, di mana Buhari berasal, penjenayah yang bersenjata berat dikenali sebagai “penyamun” oleh penduduk tempatan telah mengganggu beberapa komuniti selama beberapa tahun, menyerbu kampung, mencuri lembu, menculik bagi mendapatkan wang tebusan dan membakar rumah.

Pada Rabu lepas di wilayah berhampiran Katsina, lelaki bersenjata menyerbu kampung Unguwar Sarki dan Bilbis, membunuh 11 orang dan mencuri lembu, penduduk tempatan memberitahu AFP.

Penyerang pergi ke Ungu-war Sarki pada waktu petang, menembak ke arah penduduk dan mencuri ternakan mereka.

“Kami kehilangan sembilan orang dalam serangan itu. Penyamun telah mengambil beberapa lembu, bekalan makanan dan wang daripada kami,” jelas penduduk Sada Iro.

Seorang lagi penduduk yang hanya memberikan nama pertamanya, Ammani, mengesahkan kenyataan yang sama.

Beberapa orang tercedera sementara ramai yang melarikan diri, menurut kedua-dua sumber.

Kira-kira pada masa yang sama satu lagi kumpulan lelaki bersenjata menyerbu perkampungan Bilbis, membunuh dua orang dan merampas lembu, kata Iro.

Polis menolak untuk memberikan komen mengenai insiden tersebut.

Serangan muncul beberapa jam selepas Buhari tiba-tiba melantik seorang ketua kakitangan pertahanan dan beberapa komander baharu bagi tentera darat, laut dan udara, selepas tekanan yang bertambah termasuk dari rakan sekutu.

Dalam satu kejadian ke-selamatan yang memalukan pada bulan lepas, lelaki bersenjata menculik 340 pelajar sekolah di wilayah asal Buhari, Katsina, ketika beliau sedang melawat kawasan. Pelajar itu kemudian dibebaskan namun insiden itu menimbulkan kemarahan.

Dalam satu kenyataan pada Rabu lepas, Buhari memberitahu para ketua yang baharu: “Kita sekarang berada dalam satu perintah darurat.” 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here